
POKOK SENA: Kegigihan Rodiah Ebau mencari nafkah menyara suaminya yang sakit, mendapat perhatian Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.
Rodiah terpaksa mengambil alih tanggungjawab suaminya yang kini menderita sakit buah pinggang yang agak kronik.
Pasangan suami isteri ini sudah lama mendirikan rumahtangga tetapi tidak mempunyai cahaya mata.
Justeru, hampir seluruh tugasan dan tanggungjawab dipikul sepenuhnya oleh Rodiah.
Suaminya, Mohd Hasbi Salleh hampir empat tahun terlantar mengidap sakit buah pinggang, sukar bergerak dan berjalan seperti dahulu.
“Saya cari rezeki untuk sara hidup saya dan suami dengan menjual kuih sahaja. Bolehlah sikit-sikit tampung keperluan harian,” kata Rodiah.
Pada kunjungan Ahli Parlimen Pokok Sena dan wakil ADUN Bukit Pinang, Ismail Othman di kediamannya Kampung Alor Senibong, Langgar, sedikit sumbangan dihulurkan meringankan bebanan pasangan berkenaan.
Sebuah kerusi roda juga disumbangkan untuk kegunaan Hasbi memudahkan pergerakkannya.
“Semoga sumbangan dan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka berdua,” kata Ahmad. – HARAKAHDAILY 8/8/2024












