
GUA MUSANG: Banyak pihak sebelum ini menjangka kehidupan rakyat lebih selesa di bawah kerajaan Madani, namun apa yang berlaku sekarang lebih teruk berbanding era kerajaan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kos sara hidup meningkat secara mendadak di era kerajaan sekarang.
Katanya lebih pelik lagi sehingga sekarang kerajaan gagal menyelesaikan kehilangan beras tempatan di pasaran.
“Apabila BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan rupa-rupanya tekanan hidup rakyat lebih mencabar.
“Harga barangan terus naik dan lebih ketara selepas berlaku kenaikan harga diesel sehingga RM3.35 seliter.
“Harga beras pula tiba-tiba hilang dalam pasaran, kos sara hidup semakin naik, rakyat semakin susah.
“Sekarang era Umno-DAP rupa-rupanya kos sara hidup lagi cepat naik,” katanya pada ceramah PN di Ladang Sungai Terah, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat di Nenggiri diyakini mamu mengekalkan momentum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap dengan peningkatan majoriti berkali ganda.
Menurutnya, kemenangan tersebut sebagai isyarat awal kepada kerajaan supaya tidak sesuka hati mentadbir negara sehingga meningkatkan kos sara hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 8/8/2024











