Rakyat Jeli tolak Zahari selepas umum sokong PM

- Advertisement -

JELI: Bekas pemimpin Bersatu di Jeli mengulangi taktik serupa seperti dilakukan di Gua Musang dengan membuat gimik pengisytiharan keluar daripada parti itu.

- Advertisement -

Semalam, laman berita melaporkan lapan ketua cawangan dan 18 Srikandi di Jeli meletak jawatan dan keluar parti dengan dicanang kononnya 1,000 ahli.

Kata pemimpin PN di DUN Kuala Balah, Abdul Rahim biarlah kenyataan yang dibuat lebih munasabah sikit bagi mengelakkan ia diketawakan orang ramai.

“Dakwaan 1,000 orang keluar Bersatu yang cuba digambarkan daripada lapan cawangan tidak munasabah dengan situasi sebenar yang berlaku.

“Lagipun rakyat Jeli sudah lama menolak ahli parlimen Zahari Kechik selepas beliau mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim menyokong Perdana Menteri,” katanya di sini.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamaruddin Md Noor berkata, Bersatu Jeli tidak terjejas dengan pengumuman kumpulan terbabit kerana mereka merupakan pengikut setia Ahli Parlimen Jeli yang terlucut ahli Bersatu.

“Lebih baik tidak usah layan gimik mereka yang dikenal pasti sebagai penyokong Zahari. Nak sebut ribu-ribu, namun mereka yang hadir puluhan orang saja,” katanya seperti dilapor laman berita. 

Menurutnya juga Bersatu Bahagian Jeli mempunyai 60 cawangan berdaftar, dan tiada yang dibubar seperti didakwa kumpulan terbabit. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -