Bantuan Kerajaan Negeri Kedah rentasi semua kaum

- Advertisement -

PADANG SERAI: Seramai 50 penerima dalam kalangan golongan kurang berkemampuan masyarakat India telah menerima sumbangan Beras Sejahtera.

- Advertisement -

Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh ADUN Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, pada satu majlis di Ladang Bukit Sedim, Labu Besar, di sini semalam.

Katanya, sumbangan Beras Sejahtera Kerajaan Negeri Kedah tidak terhad kepada kaum tertentu sahaja, tetapi kepada yang berhak terutama golongan sasaran.

“Semua kaum, tak kira orang Melayu, India, mahupun Cina, akan ada daripada golongan kurang berkemampuan. Jadi kita beri tanpa mengira kaum, agama atau bangsa, asalkan menepati ciri-ciri yang kita sasarkan,” kata beliau.

Sebelum ini, beliau dimaklumkan oleh wakil komuniti India, Ladang Bukit Sedim, terdapat ramai kaum India yang kurang berkemampuan dan susah di ladang tersebut terutama warga emas.

Selain Beras Sejahtera, penerima juga diberi sumbangan barangan keperluan harian.

Turut hadir, Pengarah Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Merbau Pulas, Sazali Sudin dan Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Labu Besar, Anuar Ismail.

Bantuan Beras Sejahtera mula diperkenalkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Oktober 2020 dan terus aktif hingga kini.

Bantuan ini merupakan sumbangan setiap bulan kepada seluruh DUN di Kedah dan diurus oleh ADUN yang mewakili kerajaan dan Penyelaras DUN di kawasan diwakili pembangkang.

Sementara dalam acara berasingan, Ashah yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, menyampaikan sumbangan Bantuan Awal Kemasukan  IPT Kedah (iBakipt).

Para penerima adalah para pelajar DUN beliau yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pada majlis yang diadakan di Pusat Khidmatnya di Padang Meha, di sini, setiap pelajar menerima wang tunai RM300 dan ada di antaranya diwakili ibu bapa penerima. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -