Kelantan antara penyumbang utama sektor pertanian negara

- Advertisement -

PASIR MAS: Kelantan kekal antara penyumbang utama dalam sektor pertanian negara sehingga menjadi pengeluar kedua tertinggi beras pada tahun 2022, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail.

- Advertisement -

Beliau berkata, pada masa yang sama, sektor pertanian juga merupakan penyumbang kedua Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Kelantan dengan nilaian sebanyak RM6.1 bilion, iaitu 22.8 peratus.

Menurutnya, kerana itu kerajaan negeri mewujudkan platform ekspo sebagai menghargai pemain sektor itu dengan mengadakan pameran pertanian, input pertanian, penjualan pokok-pokok dan sebagainya.

“Ekspo Tani Negeri Kelantan 2024 yang bertemakan ‘Bertani Satu Ibadah-Transformasi Tani, Masa Hadapan Harmoni’ diharap dapat membuka ruang untuk mereka.

“Pada masa yang sama menjadi wadah bagi percambahan ilmu sektor pertanian di negeri ini serta dapat meningkatkan penggunaan teknologi dalam pertanian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Tani Kelantan 2024 di Dataran Bandar Baru Pasir Mas, di sini petang semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Tambahnya, penyertaan anak muda dalam bidang pertanian dijangka akan mencukupkan bekalan makanan dan menjamin masa hadapan yang lebih harmoni.

Ekspo Tani itu diadakan selama empat hari bermula semalam sehingga 10 Ogos ini bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Pelbagai acara dan pengisian sepanjang program berlangsung, antaranya Forum Perdana Ehwal Islam, demontrasi dan seminar berkaitan bidang pertanian, cabutan nombor bertuah, persembahan kebudayaan.

Selain itu, diadakan juga dikir barat, wayang kulit, fun run, pertandingan mewarna kanak-kanak serta jamuan rakyat pada hari perasmian. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -