
KUALA LUMPUR: Israel dibayangkan bakal berdepan keadaan penuh tidak dijangka susulan keputusan HAMAS mengumumkan Komander Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik yang baharu pergerakan tersebut.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan pemilihan tokoh itu membawa makna bahawa tiada lagi rundingan mudah buat rejim negara haram tersebut.
HAMAS menamakan Yahya Ibrahim Hasan Sinwar sebagai pengganti kepada as-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh yang dibunuh di Tehran, Iran awal pagi 31 Julai lalu, menerusi satu kenyataan ringkas pergerakan itu semalam.
“Pemilihan Yahya Sinwar sebagai pemimpin HAMAS adalah pilihan tepat, di luar kotak dan jangkaan Israel,” ujar Ustaz Khalil yang cuba menggambarkan suatu ‘kejutan’ bakal berlaku susulan perkembangan tersebut.
Kebanyakan pihak menyebut Khaled Meshaal berada di senarai teratas untuk kembali semula menerajui jawatan tersebut yang pernah dipegangnya dari tahun 1996 hingga 2017, sebelum digantikan Haniyeh.
Namun, pelantikan Sinwar dilihat satu kegemparan buat rejim yang memburunya kerana dianggap arkitek serangan dahsyat ke atas Israel selama beberapa dekad, termasuk terkini ‘Taufan al-Aqsa’ sejak 7 Oktober tahun lalu.
Malah, pemilihan beliau dilihat menambahkan kekuatan pihak-pihak yang telah mengikrarkan tindak balas serta membuat persiapan perang ke atas Israel khususnya Iran dan Hizbullah Lubnan, selain HAMAS sendiri.
Ustaz Khalil selain menyatakan sokongan mewakil PAS itu, turut menzahirkan nada kebersamaan bahawa menjadi sebahagian daripada pergerakan tersebut dengan penuh semangat mendukung pelantikan Sinwar.
“Kamu bunuh ‘ketua kami’ yang jadi perunding (Haniyeh). Sekarang ‘kami lantik’ panglima perang kami sebagai ketua. Tiada lagi rundingan mudah buat Israel!” tegasnya turut menghadiri pengebumian di Doha, Qatar pada Jumaat lalu.
Pembunuhan Ismail Haniyeh menggunakan peluru berpandu jarak dekat diyakini dilakukan pihak Zionis disifatkan satu kebaculan pemimpin Israel untuk rundingan genjatan senjata yang bakal diadakan.
Walaupun dinafikan rejim tersebut, namun ia dilihat mengulangi pembunuhan pemimpin HAMAS, Syeikh Ahmed Ismail Hassan Yassin dan Dr Abdel Aziz al-Rantisi yang syahid dibunuh 20 tahun lalu iaitu pada tahun 2004.
Malah, tindakan tersebut mencabar kedaulatan Iran apabila dilakukan di dalam negaranya dan diluar medan tempur iaitu ketika pemimpin HAMAS tersebut menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











