Dakwaan bekas ADUN Nenggiri tersasar jauh

Hadi Daud
- Advertisement -

GUA MUSANG: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mendakwa bekas ADUN kawasan itu sebelum ini hanya melaksanakan hanya beberapa program sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

- Advertisement -

Program terbabit termasuk khatan perdana di Taman Agropolitan Rantau Manis dan agihan bakul makanan di Jeram Tekoh.

Penghulu Tanpa Mukim DUN Nenggiri, Hadi Daud berkata, sepanjang hampir setahun berkhidmat sebagai ADUN, hanya program terbabit sahaja yang dianjur membabitkan penduduk di DUN Nenggiri.

Katanya, sebagai Penghulu Tanpa Mukim peringkat DUN setiap program yang dilaksanakan pemimpin tempatan akan dimaklum kepadanya untuk diselaras dengan Majlis Tindakan DUN (MTD) Nenggiri.

“Setiap program yang dianjurkan wakil rakyat perlu dilaksanakan terlebih dahulu kemudian membuat tuntutan selepas program selesai di Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Gua Musang atau Kota Darulnaim.

“Itu kaedah yang dilaksanakan di mana-mana wakil rakyat di Kelantan. Perkara itu sudah dalam pengetahuan setiap ADUN.

“Namun apabila bekas ADUN Nenggiri Mohd Azizi mendakwa tidak mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri ia amat mengelirukan,” katanya di sini.

Bekas ADUN terbabit dalam kenyataan media semalam mendakwa beliau tidak menerima satu sen pun peruntukan daripada kerajaan negeri.

Beliau turut mendakwa bantuan skim Beras al Itaam tidak diberi kepadanya sebaliknya disampaikan kepada Penyelia DUN Nenggiri.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan sebelum ini memberitahu kemungkinan Mohd Azizi tidak tahu prosedur sehingga mendakwa tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

Abdul Hadi juga berkata, dakwaan bekas ADUN terbabit tersasar jauh kerana jawatan Penyelia DUN Nenggiri tidak wujud selepas ADUN Perikatan Nasional (PN) menang pada pilihan raya lepas.

Malah, kata beliau skim bantuan beras al Itaam sudah dimaklum lebih awal kepada bekas ADUN berkenaan kerana pembekal menghantar ke MTD Nenggiri di Renok Baru memandangkan Pusat Khidmat DUN Nenggiri terletak di bandar Gua Musang.

“Sebelum ini ada sekali dua Azizi datang mengambil beras di MTD di Renok Baru. Jadi tidak berbangkit beliau tidak dibekalkan skim beras skim al Itaam oleh kerajaan negeri.

“Lebih parah lagi bekas wakil rakyat tersebut tidak mengurus Skim Kifaalah selepas berlaku kematian warga emas di DUN Nenggiri,” katanya.

Ekoran itu kata beliau PTJ Gua Musang terpaksa mengurus sendiri skim tersebut sedangkan tugas itu dilaksanakan wakil-wakil rakyat di tempat lain. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -