Pengurusan sampah di Selangor: Isu kelihatan kecil, tetapi besar

Nushi (dua dari kiri) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan ABAS Bil 10/2024 di Selangor.
- Advertisement -

HULU LANGAT: “Walaupun isu pengurusan sampah kelihatan seperti isu kecil, sebenarnya memainkan peranan besar dalam menjaga kelestarian alam sekitar khususnya dalam konteks negeri Selangor yang dicintai.” 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan ABAS Bil 10/2024 pada Isnin, menyaksikan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang mengendalikan pelupusan sampah, membentangkan inisiatif Waste-to-Energy (WtE) melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM).

- Advertisement -

“Teknologi yang menukarkan sisa buangan kepada tenaga ini semakin mendapat tempat di seluruh dunia, khususnya di negara-negara maju.

“Penguraian sampah di tapak pelupusan sampah boleh mengambil masa sehingga 20 tahun untuk terurai sepenuhnya. 

“Kita akan kehabisan tanah untuk digunakan sebagai tapak pelupusan sampah jika kita tidak mengurus pelupusan sampah dengan lebih efektif,” ujarnya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.

Sehubungan dengan itu katanya, KDEBWM telah mengutarakan inisiatif WtE sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai alternatif. 

Walau bagaimanapun ujar beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, pihaknya akan terus memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan kebolehlaksanaan teknologi WtE itu.

“(Ia juga bagi memastikan) perkara-perkara lain yang berkaitan agar semua pihak yakin dan percaya inisiatif itu mampu mencapai piawaian dari segenap sudut dan tidak sekali-kali menjadi satu lagi projek gajah putih. 

“Dalam masa yang sama, sebagai individu dan ahli komuniti, adalah penting untuk kita semua berhemah dalam pembuangan sampah dan mengamalkan prinsip 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

“Berkat usaha dan rasa bertanggungjawab secara bersama, insya-Allah kita akan dapat memastikan alam sekitar yang lebih bersih dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -