
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dilaporkan dengan bangganya mempamerkan jet pejuang F-16 yang baru tiba di negara itu, dan dengan bongkaknya berkata pesawat itu akan digunakan akan meningkatkan usaha perang terhadap Rusia.
“Jet-jet ini berada di langit kita dan hari ini anda melihatnya,” kata Zelenskyy, berdiri di hadapan dua buat jet pejuang F-16 ketika dua lagi terbang di bahagian atas dalam formasi rapat, lapor AFP.
“Adalah bagus mereka berada di sini dan kami boleh menggunakannya,” tambahnya dalam nada bongkak.
Ketibaan pesawat pejuang yang didermakan oleh sekutunya itu pada Ahad merupakan satu peristiwa penting bagi Ukraine, walaupun masih belum jelas berapa jumlah yang diterima dan sejauh mana kesannya dalam meningkatkan pertahanan udara dan di medan perang.
F-16 buatan Amerika Syarikat itu ialah antara pesawat pejuang ikonik yang telah menjadi pesawat tempur barisan hadapan pilihan untuk pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tentera udara di seluruh dunia selama 50 tahun, lapor pula Sky News.
Pesawat pejuang itu telah lama dilobi dan menjadi keinginan Ukraine yang diharap dapat digunakan untuk mempertahankan ruang udara mereka daripada serangan Rusia dan menyamakan kedudukan dari segi kemampuan udara, iaitu bahagian penting dalam peperangan moden.
“F-16 berada di Ukraine. Kita berjaya. Saya berbangga dengan juruterbang kita yang menguasai pesawat ini dan sudah mula menggunakannya untuk negara kita,” ujar Zelenskyy.
Beliau bagaimanapun mengakui negaranya tidak mempunyai juruterbang yang cukup terlatih untuk mengendali pesawat pejuang itu, sambil berkata, “Perkara positifnya ialah kami menjangkakan tambahan F-16, ramai juruterbang yang kini sedang berlatih.”
Pesawat pejuang itu bakal dilengkapi dengan meriam 20 milimeter dan dilengkapi bom, roket, peluru berpandu, dan dikatakan bakal memberi penambahan kepada kemampuan Ukraine yang jauh ketinggalan berbanding Rusia yang mempunyai keupayaan ketenteraan lebih maju dan canggih. -Agensi/– HARAKAHDAILY 6/8/2024











