Usaha kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Negeri Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, pelbagai langkah telah diambil Kerajaan Negeri dalam usaha menghidupkan kembali arena sukan bola sepak negeri.

- Advertisement -

Ujarnya, salah satu usaha tersebut ialah penganjuran Liga Super Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis, yang kini telah memasuki edisi ketiga.

“Liga Super Perlis telah berevolusi dengan positif dan menarik minat rakyat Perlis. Untuk tahun 2024, liga ini turut dimeriahkan dengan tambahan Piala Perlis, Piala Komuniti Perlis, dan Piala Fair Play.

“Insya-Allah, Liga Super Perlis akan diteruskan pada tahun mendatang dengan penganjuran bersama Persatuan Bola Sepak Perlis yang sentiasa akan lebih baik,” kata Wan Zikri.

Beliau menjelaskan usaha-usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negeri ini merangkumi tiga komponen utama iaitu pembangunan fasiliti, pembangunan bakat akar umbi dan pembangunan liga serta pengurusan kelab bola sepak.

“Melalui pembangunan fasiliti, beberapa projek baharu dan sedang dilaksanakan termasuk naik taraf Stadium Tuanku Syed Putra dengan kos RM7.8 juta, pembinaan padang sintetik baharu di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra dengan kos RM3.8 juta dan naik taraf sistem saliran padang stadium dengan kos RM0.3 juta.

“Penambahbaikan padang bola sepak di Kuala Perlis dengan kos RM0.5 juta, naik taraf padang bola sepak di Semadong dengan kos RM0.2 juta dan pembaikan empat gelanggang futsal dengan kos RM0.24 juta turut dilakukan,” katanya lagi.

Sementara dalam aspek pembangunan bakat akar umbi pula ujarnya, usaha-usaha yang dijalankan termasuk pemerkasaan dan sokongan kemudahan pelaksanaan program National Football Development Program (NFDP) melalui Akademi Tunas sedia ada.

“Seramai 19 pemain cilik dari Perlis telah dipanggil ke Akademi Mokhtar Dahari sejak 2018 hingga 2024.

“Pemerkasaan Liga Tunas Negeri Perlis dengan kerjasama pihak berkepentingan bagi memastikan penglibatan lebih ramai pemain cilik dan tempoh liga yang kompetitif juga diutamakan.

“Selain itu, sokongan dan kemudahan kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam liga kompetitif seperti Singa Muda dalam Liga Belia Malaysia dan Guar Syed Alwi (GSA) FC dalam Liga A2 Amateur Malaysia turut diberikan,” katanya.

Wan Zikri berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) berkaitan usaha kerajaan negeri untuk menghidupkan kembali arena sukan bola sepak negeri dalam sesi DUN Perlis, di sini hari ini.

Beliau juga memberi jaminan industri bola sepak negeri Perlis dapat kembali bersaing di Liga Super Malaysia kelak.

“Alhamdulillah, perkembangan bola sepak di peringkat akar umbi dan remaja di negeri ini berada dalam landasan yang terbaik untuk mengembangkan bakat para pemain.

“Kelab-kelab bola sepak juga telah berubah ke arah piawaian pengurusan yang baik bagi kelangsungan dan kemajuan kelab. Insya-Allah, dengan bakat-bakat anak negeri sedia ada dan pengurusan kelab yang semakin mantap dan profesional.

“Saya percaya tidak mustahil Perlis akan dapat kembali bersaing secara kompetitif dalam Liga Super Malaysia menggunakan bakat tempatan sedia ada,” tambah Wan Zikri. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -