
NENGGIRI dua minggu ini menjadi ratiban peminat dan pencandu politik tanah air, podium ceramah menjadi lontaran kata kata muluk dengan seribu janji para politikus. Begitu galak sekali juru kempen BN-PH daripada negeri luar menyerang Kelantan termasuk TPM yang juga Presiden Umno.
Kelantan ditohmah keterbelakang, terpuruk serba serbi, juga sebelum ini cytro BN-PH menuduh Kelantan membazirkan duit rakyat dan menyalahgunakan peruntukan Pusat membeli kereta Merc untuk Menteri Besar serta dibayar bonus RM50,000 kepada setiap Exco kerajaan.
Paralel dengan serangan di pelbagai ruang penjuru, anak-anak muda terutama pengundi PRK Nenggiri diseru untuk memenangkan calon PH-BN.
Sabar dulu anak muda DUN Nenggiri, Kelantan adalah arca yang berdiri bagi tanah air ini, memantulkan contoh yang akhirnya ditiru oleh kerajaan Pusat dan negeri-negeri lain di Malaysia sejak 1990.
34 tahun berlalu, PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya, bervariasi karektor warganya, kuat menjaga citra kemelayuannya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini.
Tiga dasawarsa lebih menggalang amanah yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing politiknya. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke-19 dan awal abad 20.
PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain.
PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.
Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosio ekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya.
Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti dalam ruang siasah, dakwah dan tarbiah.
Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi.
Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman UMNO, krisis pemimpin UMNO dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan UMNO dalam pilihan raya tahun 1990.
Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Nenggiri juga dimenangi oleh calon APU.
Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan UMNO sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46.
PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu HAMIM dan Berjasa. Pemuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum pada tahun 1990.
PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebagai Menteri Besar Kelantan.
Pelantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan telah merancakkan perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal. Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam.
Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan.
Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun.
Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah-sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, kolej universiti termasuk pendidikan pra sekolah seperti PASTI.
Kelantan menjaga rakyatnya daripada serangan kefasadan, kemaksiatan dan kemungkaran. Lebih tiga dekad warga Kelantan tidak mengenali premis perjudian, konsert hedonisme, pesta arak, malah Kota Bharu yang pernah mempunyai ‘Paris Malaya’ iaitu tempat persundalan telah dihapuskan secara total. Kantung negeri disimpan dalam kantung patuh syariah.
Rezeki anak negeri ini setiap ada, dengan semarak sektor pelancongan domestik dan antarabangsa. Setiap kali pencapaian peperiksaan awam diumumkan maka Kelantan mengejar sengit Terengganu untuk menjulang tropi juara.
Pembenci Kelantan mencemuh mengapa anak negeri ini ramai mencari makan di luar negeri mereka. Oh, sebahagian merdeka adalah kelompok kelas menengah Melayu yang berpendidikan, pastilah tempat mereka bukan di baruh atau perdu pokok getah.
Lihat sahaja rumah-rumah dan kedai-kedai orang Melayu dinegeri ini dan bandingkan dengan orang Melayu di negeri lain terutama di negeri umdap berkuasa. Sangat kontradik dengan segala gerakan pemencilan terhadap mereka selama lebih tiga dekad ini.
Kelantan yang unik dengan asimilasi kaum paling harmoni di Malaysia. Kaum Cina, India dan Siam tak segan menutur bahasa Melayu yang fasih, makan ulaman, budu dan singgang. Pak lebai Kelantan mentadbir dengan baik sehingga impaknya merembes ke negeri-negeri Melayu lain dalam PRU15 baru ini.
Pengundi Nenggiri pastinya cerdik dalam timbunan maklumat tentang apa isu yang melingkari tanah air di zaman Madani ini. Kos kehidupan mencanak, dasar luar negara yang sangat merisaukan, seolah keberkatan ditarik oleh Yang Maha Esa.
Kelantan telah membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan. Legasi Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini, Dato’ Panglima Perang Ustaz Nasruddin Daud serta sesepuh perjuangan yang lain.
Semoga rakyat Nenggiri terus mendukung aspirasi ‘Membangun Bersama Islam’ untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk tidak menyokong PAS yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 6/8/2024
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.











