
KUALA TERENGGANU: “Kemudahan sukan negara kita kalau pun tidak setanding negara maju tapi tidaklah ketinggalan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Menurutnya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang sangat besar menggunakan dana awam untuk pembangunan sukan di semua peringkat.
Beliau berkata, ditambah lagi perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menghantar kontinjen atlet dan pegawai ke luar negara.
“Setakat ini kecuali dalam satu dua acara sukan, hakikatnya atlet kita masih sangat jauh ketinggalan untuk bersaing di pentas tertinggi Olimpik.
“Mungkinkah kerana faktor fizikal, kemudahan latihan, sains sukan atau mentaliti atlit dan pengurusan?” tanya beliau dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Katanya, kalau faktor fizikal yang menjadi alasan, mungkin strategi Korea boleh dicontohi.
Menurut beliau, mereka dikalungkan pingat emas Olimpik dalam acara yang tidak memerlukan persaingan fizikal seperti memanah.
“Dari segi kemudahan latihan, negara kita jauh lebih maju berbanding kemudahan yang ada di beberapa negara Afrika yang berjaya menuai emas pada setiap kali temasya Olimpik.
“Kita juga bukan negara kecil kerana ada negara yang jumlah penduduknya di bawah 10 juta orang berjaya meraih emas,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.
Bagi beliau, mentaliti atlit dan pengurusan sukan mungkin suatu topik yang menarik untuk dibincangkan.
“You can lead a horse to water, but you can’t make him drink,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 sehingga ini berjaya meraih dua pingat gangsa menerusi acara badminton.
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menewaskan pemain India, Lakshya Sen 13-21 21-16, 21-11 untuk memungut pingat kedua negara, semalam.
Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya memungut pingat pertama selepas menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19, kelmarin.
Susulan belum ada atlet meraih emas pertama untuk negara, kini tumpuan terarah kepada jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang.
Azizulhasni membawa cabaran skuad berbasikal trek negara yang turut digalas Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Mereka akan memulakan cabaran di Velodrom Saint Quentin en Yvelines Velodromem, esok. – HARAKAHDAILY 6/8/2024











