Iran tekad kembangkan hubungan strategik dengan Rusia

Masoud Pezeshkian (kanan) dan Sergei Shoigu. (FOTO: The Straits Times)
- Advertisement -

MOSCOW: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberitahu sekutunya di Kremlin pada Isnin bahawa negaranya bertekad untuk mengembangkan lagi hubungannya dengan ‘rakan kongsi’ strategiknya, Rusia.

Ia dibuat selepas Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Sergei Shoigu, mengadakan mesyuarat dengan Pezeshkian dan pegawai keselamatan tertinggi negara itu ketika Iran mempertimbangkan tindak balasnya terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, lapor The Straits Times.

“Rusia adalah antara negara yang menyokong negara Iran semasa waktu sukar,” kata Pezeshkian kepada Shoigu dalam mesyuarat berkenaan.

- Advertisement -

Pezeshkian dalam pada itu berkata bahawa perkongsian kedudukan antara Iran dan Rusia dalam mempromosikan dunia multipolar pastinya akan membawa kepada keselamatan dan keamanan global yang lebih besar.

Dalam ulasan lanjut yang dilaporkan semasa pertemuan dengan Shoigu, Pezeshkian berkata tindakan jenayah Israel di Gaza dan pembunuhan Haniyeh adalah contoh jelas pelanggaran semua undang-undang dan peraturan antarabangsa.

Rusia sebelum ini telah mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh pada 31 Julai lalu di Iran dan menyeru semua pihak untuk mengelak daripada langkah yang boleh menyebabkan Timur Tengah menjadi perang serantau yang lebih luas.

Iran turut menyalahkan Israel dan berkata pihaknya akan menghukum Zionis Israel disebabkan insiden berkenaan yang mana pegawai Israel tidak mengaku bertanggungjawab. -Agensi/– HARAKAHDAILY 6/8/2024

- Advertisement -