
BALING: Jelajah Exco Pertanian, Dzowahir Ab Ghani telah mengadakan pertemuan bersama para petani dan peladang dalam program di Kampung Besah, Kuala Ketil, di sini semalam.
Menurut beliau, perjumpaan itu untuk memberi ruang kepada para petani berdailog serta menerima penerangan secara terus daripada para pegawai dari jabatan berkenaan.
“Pada perjumpaan ini bolehlah para petani dan peladang mendapatkan taklimat, bertemu bersama pegawai pertanian dan juga mengajukan soalan sekiranya ada kemusykilan,” kata beliau.
Di samping itu kata Dzowahir, program itu tidak hanya kepada mereka yang terlibat dengan sektor pertanian dan perladangan, sebaliknya sektor penternakan juga dialu-alukan menyertainya.
“Ini membolehkan mereka mendapatkan maklumat penting serta berkongsi masalah yang dihadapi melalui sektor yang mereka ceburi,” jelas ADUN Suka Menanti itu.
Turut hadir, ADUN Kuala Ketil yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Dalam pada itu katanya, program itu juga untuk menjayakan hasrat kerajaan negeri membantu pesawah, penternak dan petani seluruh negeri itu.
Usaha kerajaan negeri ini, jelas beliau untuk meningkatkan pendapatan golongan terbabit terutama di waktu negara menghadapi kemelesetan ekonomi.
Perjumpaan tersebut turut mendapat kerjasama beberapa agensi dan jabatan, antaranya Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Veterinar, RISDA, Persatuan Peladang Kawasan (PPK) dan FAMA Daerah Baling.
Dzowahir dan rombongan juga dibawa melawat ladang Harumanis, milik Dato’ Wahab Din di kampung tersebut. – HARAKAHDAILY 5/8/2024













