
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bukan kerja atau profesion, tetapi ia sebaliknya hanyalah khidmat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, tanggungjawab Pengerusi JPKK adalah untuk memastikan kebajikan penduduk kampung dijaga dengan baik.
“Memimpin di peringkat ‘grass root’ (akar umbi) seperti Pengerusi JPKK sangat unik. Pengerusi JPKK bukan nak berbahas di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, berwacana ilmiah, bentang kertas kerja dalam persidangan, tulis artikel, buat research dan macam-macam lagi kerja ilmiah.
“Tanggungjawab pengerusi JPKK ialah seperti hantar bantuan sampai depan tangga setiap rumah, naik atas bumbung baiki atap, turun dalam longkang bersihkan saliran tersumbat, cakna kepada anak buah yang sakit, demam dan mati.
“Kemukakan permasalahan dalam kampung kepada YB, jaga kebersihan serta kecerian kampung, tebang pokok, gotong-royong bersih kampung, cari senarai penerima bantuan, bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan jabatan kerajaan dan masyarakat kampung serta macam-macam lagi kerja di peringkat bawah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas berhubung cadangan yang dibangkitkan untuk melantik calon pengerusi JPKK yang berkelulusan.
“YB… Saya nak beri teguran sikit. Sebab apa dalam kampung ada ustaz, cikgu, engineer, pegawai dan ramai lagi yang berkelulusan tinggi tetapi Pengerusi JPKK yang dilantik pendidikan ala kadar saja. Saya cadang untuk penggal baru lantik pengerusi yang ada sijil.”
“Pertama, perlu tukar perkataan ‘dilantik’ kepada ‘dipilih’. Kesemua 37 Pengerusi JPKK dalam DUN Jabi dipilih oleh komuniti kampung tersebut. Bukan saya lantik.
“Saya hanya mengesyorkan nama yang dipilih tersebut untuk dibuat perlantikan oleh Menteri Besar,” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya ada yang berkelulusan tinggi dan bersedia menjadi kuli rakyat seperti tahan maki hamun serta bersedia untuk menawarkan diri dan diterima oleh masyarakat setempat, maka boleh disyorkan nama mereka.
“Ada kelayakan akademik yang tinggi tentu sekali adalah satu kelebihan.
“Dalam senarai JPKK Jabi sekarang ada Pengerusi lulusan kejuruteraan dari UIA, graduan IPTA, Pesara Pengetua Sekolah, Pesara Tentera, Guru Bahasa Inggeris, pesara perkhidmatan awam dan beberapa profesion lagi. Kiranya tidaklah lekeh sangat.
“Mungkin mereka ada pelbagai kerja lain bertujuan cari rezeki untuk menyara hidup. Di Jabi ada yang kerja buat wiring, pesawah, penternak lembu, tukang rumah, mekanik kereta, drebar lori dan lain-lain,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri berkata, sekarang sukar untuk nak hidup dengan elaun RM1,000 sebulan.
“Masuk kedai makan pastinya Tok Penghulu yang kena bayar. Kalau tak bayar kena maki lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











