
GUA MUSANG: PERIKATAN NASIONAL (PN) yakin mampu mempertahankan DUN Nenggiri dengan jumlah majoiriti lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan perkembangan yang berlaku sekarang PN mampu mempertahankan DUN Nenggiri dengan majoriti lebih besar.
Katanya, perkara itu boleh menjadi kenyataan dengan memperhebatkan kempen kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya yakin kita akan mencapai kemenangan lebih besar dari PRN lepas melihat sambutan diterima sekarang.
“Saya yakin majoriti tidak akan kurang 2,000 undi akan diperolehi calon PN nanti berikutan gelombang rakyat terhadap PN masih kuat,” katanya selepas menghadiri proses ramah mesra bersama pengundi di Renok Baru, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, berdasarkan sambutan pengundi terhadap calon PN Mohd Rizwadi Ismail menggalakkan, usaha untuk mengekalkan kemenangan akan menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, kata beliau jumlah pengundi Orang Asli lebih 2,000 orang perlu diberi perhatian serius.
“PN perlu menyusun jentera masuk jumpa penduduk Orang Asli yang tinggal di lima Unit Daerah Mengundi di Nenggiri,” ujarnya.
Pada PRN lepas, PN menang di DUN Nenggiri dengan majoriti 810 undi melalui Mohd Azizi Abu Naim. – HARAKAHDAILY 4/8/2024











