
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) hari ini mengadakan satu himpunan ‘Doa Untuk Palestin’ untuk menghidupkan semula kesedaran, sokongan dan solidariti kepada rakyat Palestin yang masih hidup dalam peperangan sehingga hari ini.
Presidennya, Imran Sulaiman berkata, sudah hampir 300 hari sejak perang Hamas dan zionis Israel bermula pada Oktober tahun lalu, ditambah pula dengan kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh pada Selasa lalu.
“Hamas dan wilayah Gaza sudah tidak ada pelindung bagi mereka melainkan Allah SWT. Maka pada hari ini kita sedar kita ada kelebihan, kenikmatan. Jadi ke mana hilangnya semangat boikot kita pada suatu masa dulu? Ke mana hilangnya semangat kita bersolidariti, berhimpun dan mendoakan sahabat-sahabat kita di Palestin,” katanya.
Oleh itu, menurut beliau, pihaknya memutuskan untuk memulakan semula ‘rentak’ tersebut dan bercadang untuk menggerakkan himpunan seperti ini ke seluruh negara bagi mengukuhkan semula suara-suara, sokongan dan bantuan kepada rakyat Palestin.
“Kita juga akan membuat lebih banyak himpunan di peringkat negeri-negeri ataupun membuat serahan memorandum kepada pihak-pihak tertentu bagi menunjukkan kita berkeras dalam isu ini.
“Kita mengharapkan bukan sahaja di peringkat rakyat, tetapi kerajaan sendiri perlu membatalkan semula polisi-polisi dan dasar-dasar mereka yang memberikan sokongan dan sumbangan secara tidak langsung kepada syarikat yang proksi kepada Israel,” ujarnya.
Menyentuh mengenai rundingan kerajaan untuk menjual sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock, pihaknya tetap dengan pendirian di mana kerajaan tidak boleh menggadaikan maruah dan akidah kerana faktor ekonomi semata-mata.
“Walaupun kita kata kita akan dapat pulangan yang besar daripada pelaburan dan penjualan saham ini, tetapi kita kena ingat balik kepada siapa kita nak jual saham itu. Ke mana keuntungan itu diberikan? Ianya akan pergi ke BlackRock iaitu syarikat pro-Israel.
“Di mana akhir sekali duit itu akan diberikan kepada syarikat yang menghasilkan peluru-peluru dan senjata-senjata untuk membantai rakyat di Palestin.
“Kita akan mendesak kerajaan untuk menukar balik polisi-polisi dan kerjasama yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan syarikat proksi Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











