
KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu meninjau aduan berkaitan saliran dan gangguan habuk di Kampung Sungai Karang, kelmarin. (Foto atas)
Katanya, aduan itu melibatkan satu projek awam berdekatan kediaman para penduduk.
Menurutnya, projek tersebut didakwa menyebabkan takungan air di kawasan tempat tinggal penduduk.
Tambahnya, masalah berkenaan dibimbangi boleh membawa kesan lebih buruk apabila tiba musim hujan.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai JKR Daerah dan wakil kontraktor yang meluangkan masa turun padang untuk melihat permasalahan bersama beliau dan penduduk.
Selain tinjauan itu, ujarnya mereka juga membincangkan penyelesaian untuk menangani masalah tersebut.
Katanya, beberapa perkara dan cadangan akan dibawa ke peringkat pengurusan projek selain mendapatkan maklum balas daripada agensi-agensi awam lain yang berkaitan.
Beliau menambah, pihak kontraktor akan mengambil langkah-langkah yang boleh diambil segera sebagaimana dipersetujui.
Di samping itu, ujar beliau kontraktor juga akan melakukan libat urus bersama wakil penduduk dari semasa ke semasa.

“Pihak saya juga akan berhubung dengan pihak-pihak terlibat bagi mendapatkan maklum balas dan kemas kini berkaitan tindakan-tindakan susulan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2024











