
KUALA LUMPUR: “Saya minta kepada pihak kerajaan supaya tangguhkan dulu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock Inc (BlackRock).”
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh semalam merupakan satu perkara yang benar-benar menyedihkan kepada setiap umat Islam.
“Oleh sebab itu, saya minta supaya tangguhkan dulu perjanjian tersebut kerana adalah tidak wajar untuk melakukan sedemikian dalam keadaan situasi sebegini,” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebooknya, hari ini.
Menurut beliau, sudah terlalu lama rakyat Palestin dizalimi oleh rejim Zionis Israel yang mana perkara tersebut masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.
Tambahnya, Ismail Haniyeh patut diberikan penghormatan yang istimewa kerana telah memperjuangkan nasib rakyat Palestin tanpa henti sedikitpun.
“Kita sendiri boleh lihat bagaimana beliau berjuang bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan kemerdekaan Palestin itu sendiri daripada sebarang penjajahan negara haram Israel.
“Majoriti rakyat negara kita adalah bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin itu sendiri dalam apa jua keadaan dan kerajaan patut sedar mengenai perkara tersebut.
“Sudah tentu kematian beliau memberikan kesan yang amat besar bukan sahaja di negara-negara Timur Tengah tetapi juga di seluruh dunia,” ujarnya.
Terdahulu, pada Selasa (30 Julai), Haniyeh telah menghadiri perasmian Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, serta bertemu dengan Pemimpin Tertinggi Iran.
Namun begitu, beliau bersama-sama seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediamannya menjadi sasaran di Tehran, Iran pada awal hari ini, Rabu (31 Julai).
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melalui Jabatan Perhubungan Awamnya yang mengesahkan dalam satu kenyataan berkata, serangan itu dilakukan awal hari ini, Rabu, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian.
Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan bahawa segala perjuangan dan solidariti bersama-sama rakyat Palestin perlu dilakukan secara konsisten tanpa hanti.
Beliau juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya membuat rayuan kepada pihak kerajaan untuk menangguhkan dulu penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock.
“Saya mohon kepada semua rakyat supaya buat rayuan yang sama kepada kerajaan untuk menangguhkan dulu perjanjian sebegini kerana ramai orang sedang bersedih dengan kematian Ismail Haniyeh.
“Maka, kerajaan perlu melakukan sedemikian sebagai bukti yang mereka benar-benar menyokong perjuangan Palestin itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024




















