
KOTA BHARU: Kematian pemimpin tertinggi Hamas, As-Syahid Ismail Haniyeh, tidak sekali-kali mematikan semangat perjuangan umat Islam di Palestin, sebaliknya semakin tekad untuk berani menentang Yahudi.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof, berkata umat Islam Palestin kini telah berikrar untuk terus berjuang menentang tentera Zionis Israel.
Menurutnya, dunia bersedih atas kejadian menimpa pemimpin Islam hebat yang dikenali di seluruh dunia itu.
“Tetapi almarhum tetap menang di sisi Allah kerana dia telah terpilih mati syahid di jalan Allah.
“Sewajarnya lebih ramai lagi pemimpin hebat seperti Ismail Haniyeh diwujudkan untuk menentang Israel dan sekutunya.
“Jangan jadikan kematian itu satu alasan untuk kita lemah. Bagi Kak Lah, almarhum diburu kerana orang kafir Israel akui kehebatannya dan amat takut dengan kekuatan pimpinan Hamas,” katanya lagi.
Menurut Zailah, mereka merancang untuk membunuh Ismail pada tahun 2001, namun baru sekarang Allah izinkan setelah lebih 20 tahun.
Katanya, itulah realiti yang perlu diketahui bagaimana Yahudi tidak inginkan Islam menguasai dunia.
Tambahnya, mereka sanggup buat apa sahaja di mana ada peluang untuk memusnahkan Islam.
Turut merakamkan ucapan takziah di atas kematian Ismail Haniyeh ialah NGO Cakna Palestin, yang turut melahirkan rasa dukacita di atas apa yang berlaku terhadap pemimpin tertinggi Hamas itu.
Presidennya, Abdul Shakur Sharrie berkata, bukan hanya NGO di negara ini, umat Islam seluruh dunia turut mengutuk serangan terhadap Ismail Haniyeh itu.
“Tindakan ini amat kejam dan membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negara ini terus mendoakan keselamatan ke atas umat Islam khususnya di Palestin. – HARAKAHDAILY 1/8/2024











