Exco Sukan tinjau persiapan atlet ke SUKMA 2024

Hishamuddin Abdul Karim (berkopiah) meninjau kelengkapan di ESMT dan memantau persiapan atlet Terengganu yang akan mewakili negeri ke SUKMA Sarawak.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Esport di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.

- Advertisement -

Katanya, lawatan ini bertujuan untuk melihat kelengkapan di ESMT dan memantau persiapan atlet Terengganu yang akan mewakili negeri dalam SUKMA Sarawak.

Menurutnya, tempat latihan Esports Terengganu mula bertapak sejak 2021 di Stadium Tertutup.

“Di sini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih antaranya konsol PS5 dan PS4, PC Gaming, Virtual Reality (VR) dan Mobile Gaming.

“Pentingnya memastikan adanya platform ini untuk bakat anak-anak Terengganu yang boleh menyumbang kepada kejayaan negeri dan negara,” ujarnya menerusi satu catatan di laman sosialnya.

Tambahnya, pada masa yang sama juga, beliau telah memaklumkan kepada Presiden ESMT, Shahrul Nizam untuk memimpin inisiatif itu dan menjayakan usaha untuk membangunkan Esports di Terengganu dengan lebih cemerlang.

“Saya harap atlet Esport Terengganu mampu membawa pulang emas dan kemenangan di SUKMA Sarawak nanti, insya-Allah,” katanya yang juga ADUN Tepuh.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengarah MSNT, Dr Nasree Najmi dan Timbalan Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Qayyum Rahman. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -