
KOTA BHARU: Biarpun pertandingan Mr Awang Selamat yang diadakan di luar Kelantan, namun peserta yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan itu diwajibkan mematuhi peraturan pertandingan, terutama menutup aurat.
Apa yang membanggakan, lebih 200 orang peserta menyertai pertandingan tersebut biarpun jangkaan awal hanya 100 orang sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, Malaysia Body Buiding Federation (MMBF) turut menghantar wakil mereka.
Tambahnya, selain itu penganjur turut menerima penyertaan daripada pihak beruniform yang lain seperti angkatan tentera, polis dan bomba.
“Ini menunjukkan Mr Awang Selamat yang selama ini kita anjurkan di Kelantan menjadi perhatian dan ditunggu-tunggu oleh semua di peringkat kebangsaan,” katanya.
Katanya, Mr Awang Selamat, yang dijenamakan semula oleh kerajaan negeri telah meletakkan syarat utama kepada peserta supaya menutup aurat iaitu dari paras pusat hingga lutut.
“Kerajaan Kelantan tidak pernah menghalang sebarang penganjuran program sukan, namun kita meletakan syarat, iaitu perlu mematuhi segala undang-undang dan syariah Islam.
“Sebab itu, kita di Kelantan jenamakan semula pertandingan bina badan yang patuh syariah yang dikenali Mr Awang Selamat,” katanya lagi.
Beliau turut merasmikan Cabaran Mr Awang Selamat Kebangsaan 2024 bertempat di South City Plaza, Sri Kembangan, Selangor malam kelmarin. – HARAKAHDAILY 31/7/2024












