
KUALA LUMPUR: Pengumpukan kuasa yang besar kepada menteri dalam pindaan kepada Seksyen 18 Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 dilihat tidak selari dengan prinsip tatakelola dan integriti.
Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ia berkait dengan arahan oleh menteri di mana pada pindaan itu telah ditiadakan perkataan ‘bersifat umum’ yang wujud pada akta asal.
“Bagi saya ia membawa maksud bahawa menteri diberi lebih kuasa atau kuasa penuh untuk memberi apa-apa arahan kepada CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia), bukan hanya yang bersifat umum saja, bahkan sehingga hal-hal kecil dan teknikal sekalipun.
“Malah bagi saya ia juga membawa maksud menteri berkuasa secara veto untuk menolak apa-apa keputusan oleh Lembaga Pengarah,” ujarnya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan akta tersebut di Dewan Negara hari ini.
Beliau turut meminta penjelasan kerajaan sama ada tindakan itu dilihat bersalahan dengan tuntutan integriti dan tatakelola yang baik dalam pentadbiran kerajaan.
“Bagi saya sebagaimana seruan kita bersama untuk melihat pentadbiran negara yang lebih baik, kerajaan sepatutnya mengelak pengumpukan kuasa yang agak besar kepada satu entiti atau individu tertentu. Saya pohon penjelasan,” katanya.
Selain itu, kata Nik Abduh, dalam pindaan itu yang juga dan bersekali pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (MAVCOM) dan penggabungan fungsinya ke dalam CAAM, menteri secara langsung telah mendapat kuasa berganda di mana sebelum ini menteri tiada kuasa untuk memberi arahan secara langsung kepada MAVCOM.
“Amat jelas bagi saya, amat jelas, pembubaran MAVCOM ini dan pindaan pada kuasa menteri ini adalah bertolak dan bertitik dari kehendak dari satu kehendak untuk memperkasakan kuasa menteri.
“Jadi saya menyimpan kesangsian dan kebimbangan bahawa kuasa yang semakin besar dimiliki menteri ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada pengurusan dan performance oleh pihak CAAM yang pastinya lebih selesa untuk memiliki lebih kebebasan di dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.
Justeru, pada pandangan beliau, pindaan dengan meniadakan perkataan ‘bersifat umum’ pada RUU pindaan ini adalah tidak perlu, malah hendaklah dikekalkan pada yang asal.
Tambahnya lagi, dengan pembubaran MAVCOM, industri penerbangan awam negara ini telah kehilangan satu kuasa semak dan imbang yang begitu berperanan sebelum ini sehingga pihak kerajaan menyalahanggapnya sebagai satu masalah kerenah birokrasi.
“Alasan kerajaan bahawa RUU pindaan ini adalah untuk mengurangkan kerenah birokrasi bagi saya agak tidak kukuh. Kedua-dua entiti ini MAVCOM dan CAAM berjalan dengan fungsi yang amat berbeza. Malah itulah bagi saya tujuan asal pengasingan fungsi tersebut.
“MAVCOM terbukti telah berjaya memainkan peranannya dengan baik dengan mencipta keuntungan dan mendapat pujian awam. Maka bagaimanakah dilihat sebagai berkerenah dan mengganggu gugat pihak yang lain.
“Kalaupun hujah kerenah birokrasi ini diterima, kehilangan entiti semak dan imbang ini dan diganti pula dengan pengumpukan kuasa penuh pada menteri ke atasnya, ia amatlah tidak berbaloi dan bukanlah satu bayaran yang terpaksa dibayar dan dikorbankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024











