Penganjur perlu pastikan peraturan negeri dihormati

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan tiada sebarang perkara atau aktiviti yang bertentangan dengan dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri daripada berlaku.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, insiden pemakaian tidak sopan dalam sebuah program permotoran baru-baru ini sangat memalukan dan tidak wajar berlaku.

“Walaupun pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf, tetapi perbuatan itu meninggalkan parut yang mendalam terhadap imej negeri itu sendiri.

“Kerap kali insiden sebegini berlaku dan seharusnya semua pihak sudah sedia maklum mengenai syarat dan peraturan untuk berprogram di negeri ini,” tegas beliau dalam kenyataannya, hari ini.

Berikutan itu kata Ahmad, menjadi tanggungjawab penganjur untuk memastikan program anjurannya mematuhi etika serta peraturan yang ditetapkan, maka sebarang perbuatan di luar jangka adalah tanggungjawabnya.

PAS Kedah katanya, tidak akan berkomproni dengan mana-mana pihak yang sesuka hati melanggar syariat Islam, bahkan juga peraturan dan ketetapan pihak berkuasa.

Terdahulu tular di media sosial aksi serta pemakaian tidak sopan pada program sukan permotoran yang didakwa diadakan di Kedah.

Sehubungan itu, perkara tersebut menjadi mainan pihak tertentu kononnya mempertikaikan dasar serta peraturan kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Justeru kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, sudah sampai masanya satu dasar dan garis panduan yang lebih kukuh perlu dibentuk bagi memastikan piawaian dalam setiap penganjuran program di negeri ini.

Berikutan itu beliau mengharapkan insiden sedemikian menjadi iktibar dan tidak berulang pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -