PAS Negeri Kedah kehilangan dua amilin istiqamah

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Negeri Kedah kehilangan dua amilin istiqamah yang banyak berjasa kepada parti apabila keduanya meninggal dunia pada hari yang sama, masing-masing dari Sik dan Sungai Petani, semalam.

- Advertisement -

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Belantik, Anwar Chek Omar, menghembus nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), kira-kira jam 6:25 petang semalam.

Beliau terlebih dahulu dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang setelah mengalami batuk teruk hingga tekanan darah naik mendadak sebelum ditidurkan, kemudian dipindahkan ke HSB pada jam 1:35 tengahari semalam.

Allahyarham merupakan sahabat lama kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sejak 25 tahun lalu di mana disifatkan keakraban mereka berdua telah meninggalkan banyak kenangan.

Sementara dalam tempoh tidak sampai dua jam, PAS Kedah menerima pula perkhabaran mantan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Petani, Rosli Darus juga kembali ke rahmatullah.

Rosli dimaklumkan menghembuskan nafas terakhirnya di samping ahli keluarga beliau selepas Maghrib di kediamannya Taman Desa Meranti, Padang Temusu, Sungai Petani semalam.

Allahyarham meninggal akibat penyakit diabetis yang dihidapinya sejak sekian lama dan kali terakhir memegang jawatan tersebut di kawasan berkenaan adalah pada tahun 2019.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, Rosli merupakan seorang yang sentiasa istiqamah dengan perjuangan PAS hingga akhir hayat.

“Takziah kepada kedua-dua ahli keluarga. Semoga  Allah mencucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman dan solehin,” kata beliau.

Jenazah Anwar akan dikebumikan pada jam 10 pagi hari ini di Kampung Kota Aur, Sik sementara solat jenazah Rosli akan diadakan pada jam 10 pagi di Masjid Padang Temusu, Sungai Petani. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -