Perikatan Nasional lancar kempen ‘Selamatkan Melaka’

- Advertisement -

MASJID TANAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub telah melancarkan kempen ‘Selamatkan Melaka’ dalam satu program yang berlangsung di Kampung Teluk Gong, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Program yang merupakan satu agenda besar bagi memberikan pilihan terbaik kepada rakyat Melaka untuk PN mentadbir negeri itu selepas PRN16 itu nanti, telah dilancarkan pada ceramah yang diadakan bersempenanya.

Simbolik pelancaran dilakukan dengan acara memotong belon dan mengibarkan bendera Perikatan Nasional yang dilakukan secara bersama oleh pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional peringkat negeri.

Terdahulu, Dr Yadzil yang juga ADUN Bemban sewaktu menyampaikan ucapan aluannya berkata, Kerajaan Negeri Melaka yang ditadbir BN-PH itu dilihat gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga dilihat seperti tiada hala tuju dan gagal dalam menguruskan program-program besar kerajaan seperti Tahun Melawat Melaka 2024.

“Jadi sekarang ni mana kita? Tadi Ustaz sendiri pun dah beritahu di mana hala tuju kerajaan? Memang Kerajaan Negeri Melaka tidak ada dasar yang jelas. Sama di peringkat Pusat. Mana hala tujunya?

“Dia mencari pelaburan. Betul, kita tak halang pelaburan. Dia nak buat Tahun Melawat Melaka untuk tarik pelancong-pelancong untuk makmurkan rakyat, kita tak halang. Tetapi jangan sampai bebankan rakyat,” katanya.

Mengulas pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2024 oleh kerajaan negeri beliau berkata, pengisian program tersebut dilihat tidak seimbang dan hanya fokus pada lokasi tertentu dan mengabaikan beberapa lokasi yang sepatutnya penting.

“Sepatutnya Tahun Melawat Melaka itu sendiri, kawasan Tanjung Bidara ini sendiri, kawasan kuala, saya tengok tak ada pun aktiviti-aktiviti yang menarik pelancong. Pada hal suatu masa dahulu kita sangat bangga ada pantai-pantai di Melaka yang cantik-cantik.

“Pantai Puteri, Pantai Kundur, Pantai Tanjung Bidara yang sepatutnya jadi satu tarikan pelancong. Tetapi saya tak nampak kawasan ni dipromosikan sebagai kawasan pelancongan untuk Tahun Melawat Melaka,” katanya. 

Dengan nada sinis, beliau mencadangkan agar Tahun Melawat Melaka 2024 itu digantikan dengan ‘Tahun (rakyat) China Melawat Banda Hilir 2024’ melihat kepada situasi yang sedang berlaku sekarang.

Tambah beliau, kerajaan sekarang ini dilihat terdesak untuk menunjukkan mereka adalah satu kerajaan pilihan rakyat sedangkan hakikatnya ia tidak begitu.

“Saya senang cakap kalau tak mampu nak memerintah, tak prihatin dengan rakyat, buta sangat mata, pekak telinga, serahkan pada kami Perikatan Nasional, biar kami memimpin Negeri Melaka selepas PRN akan datang.

“Kami yakin kami boleh menawarkan lebih baik dari apa yang ada sekarang. Kami ada YB-YB yang ‘talented’. Kami ada orang-orang yang ada ilmu, kami ada orang-orang yang berbakat.

“Saya yakin pada PRN16, kalau saya tengok satu-satu (kerusi), paling kurang pun memang kita 18 kerusi tu boleh menanglah PRN16 ni!,” katanya.

Turut menyampai ceramah pada malam itu ialah mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman serta Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -