
KOTA BHARU: Selepas Kuala Krai, Pasir Mas pula berada pada tahap berjaga-jaga berikutan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37°C tiga hari berturut-turut.
Parlimen Pasir Mas dan Kuala Krai antara empat kawasan di Semenanjung yang berada pada tahap satu (berjaga-jaga).
Jabatan Metreologi Malaysia melaporkan, turut berada pada tahap berjaga-jaga, Larut dan Matang di Perak dan Kuala Muda di Kedah.
“Manakala di Sarawak terdapat dua kawasan tahap berjaga-jaga, iaitu Bintu dan Sri Aman,” menurut kenyataan itu lagi yang dikeluarkan pagi tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, mengingatkan masyarakat di negeri ini supaya sentiasa berhati-hati.
Menurutnya, suasana yang kembali panas melanda Kelantan kini memerlukan anggota masyarakat sentiasa berhati-hati, terutama sekali kanak-kanak dan warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Ramai yang mengadu demam kerana terdedah pada cuaca panas,” katanya ketika dihubungi. – HARAKAHDAILY 28/7/2024











