
KOTA BHARU: Berikutan kekalahan Kelantan Darulnaim FC (KDN FC) ketika menentang Perak FC di laman sendiri, pengurusan skuad Sang Kijang Emas berjanji akan mengambil langkah yang lebih tegas demi bola sepak negeri.
Presidennya, Rozi Muhamad berkata, pihaknya akan melakukan beberapa perubahan dengan kadar segera setelah melihat kepada situasi sekarang selain memahami keluhan penyokong setia yang menuntut perubahan segera.
Menurutnya, ia berlaku susulan kekalahan terbaru 1-3 kepada Perak FC dalam saingan Liga Super 2024/25 di Kota Bharu, Jumaat lepas.
Menurut Rozi, sebagai langkah permulaan KDN FC akan mengubah beberapa perkara, sementara menanti perpindahan kedua Liga Malaysia pada September depan.
Tambahnya, usaha itu perlu dibuat kerana skuadnya akan menghadapi tiga perlawanan getir pada awal Ogos
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sebagai usaha yang terpaksa dilakukan, saya berjanji akan mengubah beberapa perkara sebelum perlawanan seterusnya Liga Super pada Ogos ini.
“Pada masa yang sama, perubahan besar pada jendela perpindahan kedua dibuka bulan september nanti,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Rozi berkata, selepas banyak perubahan yang dilakukan pengurusan, terutama dalam memastikan kebajikan pasukan terjaga, mereka seharusnya sedar dengan tanggungjawab kepada kelab serta nama negeri Kelantan itu sendiri.
“Ada baki tiga perlawanan akan berlangsung sebelum perpindahan kedua dibuka.
“Mulai sekarang saya telah ada beberapa langkah awal yang akan dilakukan bila tiba masanya demi nama kelab serta negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2024











