
BUKIT GANTANG: Demo masakan Ayam Ungkep oleh ADUN Ijok, Jefri Mejan menjadi acara dapur utama yang menarik perhatian pengunjung kalangan muslimat sempena Hari Keluarga PAS Pusat 2024.
Beliau yang mewarisi bakat memasak dari ibunya menunjukkan cara memasak Ayam Ungkep yang merupakan masakan terkenal serta pilihan masyarakat Jawa.
Program kendalian Dewan Muslimat itu turut menghidangkan pelbagai acara lain yang tidak kurang hebatnya dalam mencungkil bakat kaum hawa dalam program dilangsungkan di Arena Futsal, di sini hari ini.
Satu lagi acara menguji kesabaran peserta iaitu ‘Musang Berjanggut’ di mana kumpulan yang paling pantas mengasingkan rempah ratus yang telah digaul, dikira sebagai pemenang.
‘Musang Berjanggut’ berjaya menggamit 40 penyertaan dari kalangan pemimpin Muslimat dan isteri pemimpin PAS Negeri dan Kawasan.
Sementara kanak-kanak juga tidak ketinggalan memeriahkan program yang berlangsung di hari kedua Hari Keluarga PAS Pusat 2024 dan julung kali diadakan di negeri ini.
Seramai 80 peserta berumur antara empat hingga tujuh tahun dari 17 PASTI sekitar kawasan Bukit Gantang berentap menunjukkan bakat mewarna.


Dalam pada itu Sembang Santai Wanita yang mengupas tajuk keluarga bahagia dan pendidikan anak-anak menjadi halwa telinga para hadirin hampir satu jam di Arena Futsal tersebut.
Sembang Santai dibarisi tiga ahli panel hebat iaitu Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Rosni Adam dan Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS, Ustazah Ana Mastura Ismail serta Shafie Ngah yang juga merupakan ADUN Sungai Ramal.
Sementara jamuan rakyat disediakan kepada semua hadirin – HARAKAHDAILY 28/7/2024














