Lata Hujan dinaik taraf tarik ramai pelancong

- Advertisement -

TANAH MERAH: Negeri Kelantan mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi khususnya bagi pencinta kawasan ekopelancongan yang semula jadi.

- Advertisement -

Kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menaik taraf beberapa kawasan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, termasuk Lata Hujan yang terletak di Hutan Simpan, Ulu Kusial, Gual Ipoh, kira-kira 25 kilometer dari sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, bagi ‘memperelok’ kawasan berkenaan, kerja-kerja menaik taraf tempat berkenaan telah dibuat sejak tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak RM800,000 telah dibelanjakan untuk tujuan itu menerusi peruntukan PBT, kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Lata Hujan mempunyai air terjun yang bertingkat-tingkat, alhamdulillah. Semasa trip lawatan ini saya tak berkesempatan memanjat bukit hingga ke kemuncaknya.

“Satu saja pesanan saya, sama-samalah kita sayangi tempat-tempat peranginan dan lokasi menarik dalam negeri kita dengan terus menjaga kebersihan dan keindahannya,” ujarnya.

Nama Lata Hujan diambil sempena semburan (tempias) air terjun yang terkena kepada penduduk sekitarnya.

Lata itu dibuka selepas merdeka pada tahun 1957. Di kawasan Lata Hujan, terdapat batu fatana yang dikatakan oleh penduduk tempatan sebagai sebuah tempat gajah bermain setiap tahun.

Sekarang Lata Hujan adalah antara tarikan utama produk pelancongan bagi jajahan Tanah Merah.

Ramai pengunjung datang ke situ khususnya pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Sambil mandi manda dan berkelah para pengunjung dapat menikmati panorama alam semula jadi yang sungguh indah. – HARAKAHDAILY 27/7/2024

- Advertisement -