
GUA MUSANG: Jentera Pilihan Raya PAS Gua Musang dan DUN Nenggiri semakin bersemangat meneruskan gerak kerja biarpun nama calon mewakili Perikatan Nasional (PN) belum lagi diumumkan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassurudin Daud berkata, tahap gerak kerja petugas pilihan raya PAS semakin meningkat sekarang.
“Pada perjumpaan dengan jentera pilihan raya DUN Nenggiri petang ini semua petugas hadir dan kelihatan cukup bersemangat dalam misi mempertahankan DUN Nenggiri,” katanya ketika ditemui selepas program taklimat tersebut di Pejabat PAS Gua Musang petang ini.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Ketua Penerangan PAS negeri Mohd Asri Mat Daud, Penyelia DUN Galas Tarmizi Abdul Rahman dan Yang Dipertua PAS Gua Azman Ahmad.
Mohd Nassurudin yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, semua bilik operasi PAS di 15 Unit Daerah Mengundi (UDM) DUN Nenggiri yang melibatkan pengundi Melayu sudah beroperasi.
Kata beliau bilik operasi UDM tersebut mulai dibuka minggu lepas, manakala pos PAS ada yang sudah dibuka dan akan diibuka dalam tempoh terdekat.
“Apa yang penting kita memastikan DUN Nenggiri dapat terus dipertahan pada Pilihan Raya Kecil pada 17 Ogos ini,” ujarnya.
Ditanyai mengenai tarikh pengumuman calon PN DUN Nenggiri katanya ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat setelah nama dimuktamadkan pemimpin atasan PN.
Beliau turut yakin dengan gerak tersebut PN mampu mempertahankan DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 27/7/2024











