PERKESO sasar 5,551 pencarum Skim Keselamatan Suri Rumah

- Advertisement -

KUALA KRAI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan menyasarkan seramai 5,551 pencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sehingga akhir tahun ini.

- Advertisement -

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, kesedaran pencarum yang layak dalam kalangan suri rumah begitu rendah di mana sehingga Jun tahun ini hanya sekitar 9 peratus sahaja.

Sehubungan itu beliau menyaran suri rumah mengambil peluang untuk mencarum dalam skim SKSSR sebagai jaringan perlindungan sekiranya berlaku sesuatu musibah.

Menurut beliau skim itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu caruman daripada tajaan kerajaan yang diperolehi secara automatik bagi mereka yang layak didaftarkan menerusi e-kasih dan selain itu pendaftaran secara sukarela.

“Setakat ini jumlah pencarum di bawah tajaan kerajaan 9,470 pencarum, manakala secara sukarela hanya 385 pencarum sahaja,” katanya selepas menyampaikan sumbangan keperluan harian dan kerusi roda kepada seorang pencarum suri rumah, Rosliza Muhammad Amin di sini semalam. (Foto atas)

Beliau menghidap kanser payu dara tahap empat dan kanser tulang di Kampung Manek Urai.

Nora juga berkata, kurang kesedaran suri rumah mendaftar sebagai pencarum perlu digerakkan kerana rugi tidak berbuat demikian.

Tambahnya, mungkin mereka berasa selamat berada di rumah tidak terdedah kepada sebarang bahaya, sedangkan apa yang berlaku di sebaliknya.

“Rosliza suri rumah yang tidak bekerja, tiba-tiba ditakdirkan mengidap penyakit kanser, dia nak mencarum sebagai pekerja tidak boleh,” katanya.

Menurutnya juga PERKESO membuat pelbagai penerangan supaya suri rumah sedar perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -