
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meluangkan masa hadir menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Keranjang antara pasukan NLBC Perlis dan pasukan BOMBA Sukarelawan Tunjang, di sini malam tadi.
Kehadiran beliau itu sebagai memenuhi jemputan Pengerusi Persatuan Sukan Hung Yuan, Ch’ng Kah Hong dan Setiausaha Persatuan Bola Keranjang Perlis, Tan Kin Hin untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Terdahulu pada hari Rabu iaitu malam sebelumnya, beliau menghadiri program jaulah di Taman Hijrah dan ketika melalui kawasan taman di sini, Mohd Shukri ternampak ramai anak muda berkumpul, majoritinya kaum Cina.
Beliau pada awalnya sekadar berhasrat singgah untuk menyumbang air minuman botol dan beramah mesra dengan mereka di situ, tetapi tidak disangka keesokan harinya dijemput untuk memberi hadiah dan ucapan pada majlis penutup.
Mohd Shukri yang ternyata teruja menyaksikan pertandingan akhir malam tadi itu menyifatkan perlawanan antara kedua pasukan tersebut sangat mendebarkan di mana turut dinyatakannya sebagai persaingan sengit.
“Alhamdulillah, saya berpeluang menyaksikan perlawanan Akhir antara pasukan NLBC Perlis menentang pasukan BOMBA Sukarelawan Tunjang. Permainan yang sangat menarik malam ini,” katanya.
Keputusan berakhir dengan pasukan NLBC berjaya merangkul gelaran juara bagi kejohanan kali ini dan Mohd Shukri mengucapkan tahniah kepada pasukan atas kejayaan mereka.

“Saya sangat berbesar hati dapat bersama-sama dengan semua malam ini,” tambah beliau yang berharap menerusi kejohanan seumpama itu sekali gus dapat memupuk semangat kesukanan dan mempererat hubungan antara pemain serta komuniti.
Agenda sukan juga ujarnya, mampu menyatukan semangat kebersamaan dan menegaskan bahawa semua mereka itu adalah rakyat Perlis walaupun sebahagian besar tidak mengundi Perikatan Nasional (PN).
“Tidak bererti mereka dinafikan hak, selain peruntukan yang sama rata diberikan kepada semua ADUN kerajaan dan pembangkang, mereka wajib menerima kasih sayang dan perhatian dari seorang pemimpin utama negeri,” ujarnya lagi.
Sambil bersalaman, urusetia pertandingan turut mengungkapkan kegembiraan dengan kehadiran Mohd Shukri serta berharap agar hubungan seperti tersebut dapat dikekalkan.
“Pertama kali MB Perlis mai ‘tournament’ kami. Seronok woo.. Nanti kalau ada ‘tournament’ lagi kami mau (mahu) jemput MB bagi sokongan,” katanya.
DUN Indera Kayangan walaupun merupakan satu-satunya kawasan yang diwakili Pakatan Harapan (PH) dalam negeri ini, namun menjadi saksi kehadiran pemimpin itu menyantuni masyarakat warga secara harmoni tanpa ada ketaksuban dan perbezaan politik. – HARAKAHDAILY 26/7/2024












