
JASIN: Dakwaan pihak tertentu kononnya wujud pertemuan antara PAS dengan Pakatan Harapan (PH) ataupun Umno untuk menyertai Kerajaan Campuran adalah cerita karut yang akan muncul setiap kali adanya pilihan raya kecil (PRK).
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, perkara tersebut adalah tidak benar sama sekali, malah tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana peringkat jawatankuasa organisasi parti itu.
“Setakat ini, hari ini dan mesyuarat terakhir pertemuan saya di dalam mesyuarat secara rasmi ataupun tak rasmi dengan pimpinan tertinggi, kerana saya AJK Dewan Harian, tak pernah pun kita bincang berkenaan untuk bersama PH.
“Tak pernah terfikir dan terlintas di dalam agenda mesyuarat kita untuk nak sama-sama dengan masuk menyertai (kerajaan) Pakatan Harapan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.
Tambahnya, PAS sedia yakin dan percaya dengan gagasan Perikatan Nasional yang ada sekarang ini dan bertekad untuk memperkukuhkan jentera parti berhadapan PH-BN di dalam PRU16 yang akan datang.
“Tak pernah timbul dan tak pernah ada satu agenda (sebegitu). Kerana saya ni tidak pernah ponteng dalam mesyuarat dan selalu kadang-kadang mesyuarat atau pertemuan rasmi atau tak rasmi dengan Tuan Guru tak pernah bincang bab berkenaan hal ini.
“Termasuklah juga dengan Majlis Syura, saya juga dalam kalangan Ahli Majlis Syura yang kita tak pernah sebut atau bincang bab ini dimainkan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui usai program Liqa’ Fikri PAS Negeri Melaka yang berlangsung di Kompleks PAS Jasin, di Simpang Kemendor, di sini malam tadi.
Kata beliau, perkara seperti itu pasti akan timbul setiap kali berlaku PRK terutamanya jika calon bagi pilihan raya tersebut adalah daripada BERSATU.
“Mereka cuba untuk memecahkan kesatuan di kalangan. Kita punya slogan kita ‘sek kito jaghe pecoh’,” ujarnya turut menitipkan nasihat kepada seluruh ahli PAS agar membaca kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh parti di media rasmi parti iaitu Harakah.
Beliau juga menasihati semua pihak agar bertanya dengan pimpinan-pimpinan PAS untuk mendapat maklumat yang sebenar dan bukannya daripada portal-portal yang bukan daripada PAS.
Program Liqa’ Fikri anjuran Lajnah Tarbiyah PAS Negeri Melaka dengan kerjasama Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan Jasin itu melibatkan penyertaan pimpinan-pimpinan PAS semua peringkat dari seluruh negeri.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail serta Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Bakri Jamaluddin dan Ustaz Imran Abdul Rahman serta Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek. – HARAKAHDAILY 26/7/2024











