Orang ramai dijemput hadir Ceramah Selamatkan Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai diajak untuk hadir ke Ceramah Umum dan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia pada 26 hingga 27 Julai ini.

- Advertisement -

Pengerusi Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, dua perhimpunan tersebut akan diadakan di negeri Perak.

Katanya, Ceramah Umum Selamatkan Malaysia ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ pada 26 Julai diadakan di 237, Jalan Menteri, Kampung Manjoi.

Tambahnya, pada Sabtu, 27 Julai pula dilakukan berhadapan dengan Pejabat Ahli Parlimen Tambun iaitu pada jam 3 petang.

Menurut beliau, seramai sembilan orang penceramah mengambil bahagian dalam ceramah ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’.

“Tema ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ merupakan tema yang membuka tirai Himpunan Selamatkan Malaysia 2.0 tahun ini.

“Tema ini dipilih kerana selepas 18 bulan menjadi Perdana Menteri ke-10, rakyat telah menilai prestasi Perdana Menteri dan akan memutuskan pencapaian dan kesalahan beliau terhadap rakyat dan negara ini.

“Prestasi ini dinilai berdasarkan janji-janji yang telah dibuat serta pencapaian beliau dalam mentadbir negara ini,” katanya pada sidang media Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0 yang diadakan di WP Hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa; mantan Ahli Dewan Rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Gobalakrishnan Nagapan; Ketua Penerangan Pejuang Mohd Rafique Rashid Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan mantan Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin (Bozz Jebat).

Sementara itu, Mohd Rafique menyatakan bahawa pemakluman mengenai kedua-dua perhimpunan tersebut telah pun dihantar ke pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun begitu, kata beliau, hanya Ceramah Umum Selamatkan Malaysia ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ sahaja yang mendapat kebenaran daripada pihak PDRM.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kita ada Akta Perhimpunan Aman 2012 yang mana rakyat masih dibenarkan untuk turun ke himpunan 27 Julai ini.

“Ini kerana kita hanya melakukan himpunan aman sahaja dan dilindungi undang-undang yang sedia ada dalam negara ini,” katanya.

Tun Faisal pula menyatakan ceramah Selamatkan Malaysia diadakan di seluruh negara.

“Selain dari tiga program utama yang telah diatur di Tambun pada 27 Julai, Permatang Pauh pada 31 Ogos dan Kuala Lumpur pada 16 September, siri-siri ceramah Selamatkan Malaysia juga sedang giat berlangsung di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -