
KUALA LUMPUR: Umno terbukti menolak DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri.
Ini kerana Pengarah Pilihan Rayanya, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menggesa DAP tidak turun berkempen dalam PRK tersebut.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Ku Li menggesa DAP agar tidak turun berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) kerana kawasan tersebut 100 peratus Melayu Bumiputera.
“Tambah Ku Li (pemimpin) DAP ni Bahasa Melayu pun tak fasih. Kehadiran mereka hanya membuang masa.
“Bersungguh Umno Kelantan mahu menebus kembali DUN ini yang letaknya bawah Parlimen Gua Musang sehingga kawan mereka dalam kerajaan pun disekat,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.
Dalam pada itu, logik Ku Li ini menurutnya adalah bukti bahawa akar umbi Umno memang rimas dan tidak berselera bekerja dengan DAP bukan hanya di PRK itu malah sejak dari mula Presiden Umno memutuskan agar Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.
Ujarnya, memang ada sebahagian pemimpin Umno ‘berlakon’ bergesel bahu dengan musuh politik Umno itu tetapi ia dilakukan semata-mata kerana mengambil hati Presidennya, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Roslan berharap dengan gesaan Ku Li ini akan meresap masuk ke dalam jiwa pimpinan Umno selain presidennya.
Beliau berkata, Umno di peringkat yang paling lemah dalam sejarah kerana Umno cuma bertaut pada 26 dari 222 kerusi di Parlimen dan kemegahan Umno Negeri Kelantan pun iaitu Parlimen Gua Musang yang cuba dipertahankan Ku Li dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 lalu turut kecundang.
“Sebagai pemimpin veteran Ku Li tahu bahawa masa depan Umno suram dan boleh sahaja rebah terus ke bumi. Tetapi adakah presidennya sedar?” katanya.
Apapun, tegasnya Perikatan Nasional (PN) akan pertahankan Nenggiri kerana angin perubahan rakyat yang bertiup kencang bermula dari Pantai Timur perlu dikekalkan.
“Ahli dan penyokong Umno sebagaimana di Kuala Terengganu, Kemaman dan di Sungai Bakap diharap dapat bangkit beralih dari meletakkan keyakinan kepada Umno selama ini untuk berani memberi harapan pada PN.
“Bersama kita kembalikan kegemilangan kuasa politik Melayu Islam. Penyatuan Ummah masa depan politik Malaysia,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











