Jambatan kereta api jadi laluan utama penduduk

- Advertisement -

GUA MUSANG: Sebelum ini penduduk Kampung Bertam Baru dan Bertam Lama terpaksa menggunakan jambatan kereta api untuk berulang alik antara dua kampung tersebut.

- Advertisement -

Jambatan itu merintangi Sungai Nenggiri. Laluan pejalan kaki itu juga boleh dilalui motosikal dibina bersebelahan landasan kereta api.

Menjejaki jambatan besi itu agak gayat bagi mereka yang tidak biasa.

Malah, sebelum lorong pejalan kaki dibina penduduk terpaksa melalui di titi di tepi landasan kereta api di atas jambatan. Situasi itu lagi menggerunkan.

Dan ketika berselisih dengan gerabak kereta api pejalan kaki terpaksa bersembunyi di sebalik tiang jambatan seketika.

Kesukaran itu sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk Bertam Baru dan Bertam Lama. Boleh dikatakan jambatan kereta api menjadi nadi penghubungan utama antara dua kampung tersebut.

Dan hari ini lorong pejalan kaki di jambatan kereta api sudah jarang digunakan kerana ada jambatan baru merentangi Sungai Nenggiri siap dibina.

Jambatan baru dua lorong tersebut begitu selesa kerana boleh dilalui semua jenis kenderaan berbanding jambatan kereta api hanya boleh dilalui penunggang motosikal.

Warga emas Kampung Bertam Baru, Nik A Rahman Nik Wan, 78, berkata, sebelum ini penduduk agak sukar untuk berulang alik ke Bertam Lama kerana hanya boleh melalui jambatan kereta api dan perahu.

Katanya kereta milik penduduk Bertam Lama yang pulang melalui Limau Kasturi dari Gua Musang atau Kuala Krai terpaksa diparkir berhampiran jambatan kereta api di Bertam Baru.

“Begitu juga kenderaan penduduk Bertam Baru terpaksa ditinggalkan berhampiran jambatan kereta api untuk pulang ke Bertama Lama.

“Kesukaran itu terpaksa ditempuhi penduduk kerana jambatan kereta api dan perahu menjadi alat perhubungan utama bagi penduduk kedua-dua kampung sebelum ini,” katanya.

Jambatan baharu menghubungkan Kampung Bertam Baru-Bertam Lama dibina pada tahun 2021 dan kini siap sepenuhnya. Jambatan terbabit dibina bersebelahan jambatan kereta api.

Mohd Osman Mustafa

Penghulu Bertam Baru, Mohd Osman Mustafa berkata, Bertam Baru biarpun terletak jauh di pedalaman, namun ada jalan tar dari Limau Kasturi membolehkan penduduk berulang alik ke bandar Gua Musang dengan lebih selesa.

“Bagaimanapun jalan tersebut ada runtuhan tebing di dua lokasi yang sedang dalam baik pulih oleh kontraktor sekarang.

“Ada tempat jalan agak beralun kerana tanah mendap dan ia boleh membahayakan pengguna jalan raya pada waktu malam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -