Usaha pembaikan infra: Jalan gelap kini terang

- Advertisement -

PADANG BESAR: Penduduk di Taman Melati Indah, Taman Haz Melati, Taman Melati Permai dan Taman Melati Ceria kini boleh menarik nafas lega apabila simpang jalan yang sebelum ini gelap telah dibaiki dan kini terang.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun menyatakan rasa syukurnya terhadap tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dalam menangani masalah pencahayaan di kawasan tersebut.

“Saya amat berterima kasih kepada JKR negeri yang begitu responsif terhadap cadangan dan aduan yang saya lakukan. Terima kasih juga kepada Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Taman Melati yang kuat berusaha.

“Semoga usaha ini memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Menurut Haziq, inisiatif itu diharap dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk, terutama pada waktu malam.

“Alhamdulillah, penduduk setempat juga menyambut baik usaha ini, dengan menunjukkan kerjasama yang baik antara pihak berkuasa dan masyarakat dalam menangani masalah infrastruktur di kawasan mereka.

“Dengan pencahayaan yang lebih baik, diharapkan kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan dan penduduk dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih tenang dan selamat,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, penduduk pernah membuat aduan berkaitan masalah tersebut tetapi tidak ada jalan penyelesaian.

Namun, tidak sampai dua tahun selepas Perikatan Nasional mengambil alih, isu tersebut dapat ditangani. HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -