Kerajaan Kedah bantu Pulau Pinang atasi masalah air

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri komited menunaikan permintaan Pulau Pinang berikutan paras air di Sungai Muda menunjukkan penyusutan, demikian menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Jelasnya, empat hari lalu, sebanyak 100 meter padu air telah dilepaskan dari Empangan Beris untuk membantu menstabilkan paras air ke sungai tersebut.

“Pelepasan air itu akan dilakukan secara berkala sehingga paras air di Sungai Muda (di Pulau Pinang) stabil,” jelasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dalam pada itu kata Sanusi, pembenihan awan juga akan dilakukan oleh Agensi Bantuan Bencana (NADMA) untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Pembenihan awan ini dilakukan atas permintaan Lembaga Sumber Air Kedah (LSANK), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), akan dilaksanakan oleh NADMA.

“Tindakan ini untuk membantu Pulau Pinang yang kini menghadapi masalah bekalan air,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Perkara itu katanya, secara tidak langsung membuktikan negeri di bawah pentadbiran DAP itu bergantung sumber air dari Kedah.

Media sebelum ini melapor beberapa empangan di Pulau Pinang mengalami penyusutan paras air yang agak kritikal.

Walaupun berlaku hujan lebat di beberapa kawasan di negeri itu, namun ia tidak membantu meningkatkan paras air terutama Empangan Air Itam yang mencatatkan berada tahap tiga kritikal. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -