Sisa runtuhan Jambatan Guillemard dijadi arca sejarah

- Advertisement -

TANAH MERAH: Komponen asas pembangunan Taman Guillmemard Wiew termasuk dataran utama taman rekreasi hampir siap sepenuhnya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, dataran utama taman rekreasi itu siap dibina pada tahun 2023.

Katanya, projek terbabit bermula dengan kerja-kerja awal bagi membaik pulih dan menstabil cerun di Jambatan Guillemard Kusial Fasa satu dan dua.

“Seterusnya kerja-kerja pembinaan dataran bertingkat dan landskap di Guillemard View pula akan diteruskan.

“Taman permainan kanak-kanak dan senaman akan dibina di kawasan seluas 2.3 ekar akan diteruskan bagi memenuhi komponen taman tersebut.

“Majlis Daerah Tanah Merah juga bercadang membangunkan keseluruhan kawasan itu sebagai taman awam dengan merancang pembangunan di kawasan bersebelahan seluas 12 ekar,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya juga pembinaan terbabit bagi melengkapkan infrastruktur pembangunan di Kawasan Pelancongan Warisan Jambatan Guillemard.

Hilmi turut melihat sisa runtuhan akibat pengeboman Jambatan Guillemard semasa Perang Dunia Kedua.

“Sisa runtuhan diangkat ke darat dengan bantuan bersepadu daripada Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM),” ujarnya.

Menurutnya juga sebuah tugu akan dibina daripada sisa runtuhan tersebut untuk dijadikan sebagai arca sejarah sebagai simbolik genap ulangtahun 100 tahun usia pembinaan Jambatan Guillemard.

Jambatan itu dibina pada Julai 1924 semasa penjajahan British di Tanah Melayu. Ia juga merupakan jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia (609.6 meter).

Jambatan tersebut mengambil nama Sir Laurence Guillemard, yang merupakan pegawai British pernah menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat pada awal abad ke-20.

Jambatan Guillermard pernah dibom tentera British bagi menghalang pergerakan tentera Jepun yang mendarat di Pantai Sabak daripada terus bergerak ke selatan Kelantan. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -