
KUALA LUMPUR: Galeri awam mahkamah perlu dikosongkan dan bilik menunggu yang berasingan bagi memberikan privasi kepada saksi kanak-kanak sewaktu hadir untuk memberi keterangan.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini adalah untuk membolehkan kanak-kanak tidak berasa terancam semasa memberi keterangan di mahkamah.
“Walaupun Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak membenarkan pemasangan skrin di mahkamah untuk mengelakkan saksi kanak-kanak daripada melihat dan dilihat oleh tertuduh namun kanak-kanak itu sudah menyedari kehadiran orang awam di mahkamah.
“Dalam kesalahan tertentu seperti mangsa serangan seksual, kanak-kanak mungkin merasa tidak selesa untuk memberi keterangan di hadapan orang ramai yang seterusnya akan menyebabkan kanak-kanak itu berdiam diri kerana ketakutan terhadap akibatnya,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Gerakan berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Keterangan Saksi Kanak-kanak (Pindaan 2024) di Dewan Negara hari ini.
Untuk menyelesaikan isu itu, beliau mencadangkan agar mahkamah diberikan kuasa budi bicara untuk mengosongkan galeri awam apabila perlu.
“Ini selaras dengan objektif konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak, UNCRC, United Nation Conventions On The Rights Of The Child, dengan izin.
“Untuk melindungi pentadbiran keadilan kanak-kanak dari segi prosedur di mana ketidakmatangan mental dan emosi kanak-kanak yang terlibat diambil kira,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar disediakan satu bilik menunggu khas untuk kanak-kanak.
Katanya, mengenai peruntukan itu, mahkamah harus memastikan bahawa kanak-kanak diletakkan dalam suasana yang selamat, sihat dan selesa, sebelum, semasa dan selepas memberikan keterangan di mahkamah.
“Adalah sangat disyorkan untuk menyediakan bilik menunggu yang berasingan dikhaskan khusus untuk kanak-kanak saja.
“Ini adalah untuk mengelakkan kanak-kanak tidak selesa ketika menunggu giliran mereka sambil duduk bersama saksi dewasa yang lain,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan peranan orang sokongan atau pengiring yang terlatih khas dan profesional dalam kes di mana pelaku kesalahan adalah ahli keluarga kanak-kanak itu sendiri.
“Ini penting untuk membantu kanak-kanak sepanjang proses kehadiran bagi mencegah risiko. paksaan atau menjadi mangsa sekunder,” katanya.
Menurut beliau, pengiring itu juga akan bertindak sebagai perantaraan dalam kes mahkamah apabila saksi memberikan keterangan di mahkamah.
Mereka itu, tambah Dominic, akan membantu menyediakan maklumat tentang prosedur mahkamah, menawarkan sokongan emosi, melawat mahkamah sebelum perbicaraan untuk membiasakan saksi dengan susunan atau mahkamah.
Selain itu, tambahnya, pengiring itu juga akan menyediakan bantuan praktikal seperti pengangkutan saksi kanak-kanak ke mahkamah. – HARAKAHDAILY 23/7/2024











