MDTM ternak ‘Black Soldier Fly’ di pasar

- Advertisement -

TANAH MERAH: Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) merancang untuk membina pintu gerbang di sempadan jajahan dan pembinaan landskap persekitaran di jalan Tanah Merah-Pasir Mas.

- Advertisement -

MDTM juga akan menternak Black Soldier Fly (BSF) di pasar bagi memproses larva yang merupakan sumber protein dan sesuai dijadikan makanan ternakan seperti ayam dan ikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, usaha itu berpotensi menjadi alternatif bagi industri ternakan negara.

Ini kerana katanya, negara sekarang bergantung kepada bahan makanan ternakan yang diimport dari luar negara.

“Saya percaya dengan perancangan strategik dan usaha keras serta sokongan seluruh warga MDTM akan berjaya mencapai hasrat yang digagaskan,” katanya pada lawatan ke MDTM hari ini.

Sempena lawatan itu beliau menyerah sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM95,100 untuk pembelian tong sampah bagi menjayakan agenda Kelantanku Bersih.

Selain itu, sebanyak RM550,000 bagi melaksanakan Projek Kesejahteraan Rakyat dan Pembangunan PBT bagi suku kedua tahun 2024.

Hilmi juga berkata, MDTM berusaha menaik taraf kawasan strategik di pusat bandar dengan pembangunan perniagaan bercampur.

“MDTM melaksanakan pembangunan Laman Seni Mural, menaiktaraf lnfrastruktur dan landskap Pasar Borong Manal, pembinaan pergola di Taman Raudhah, Pechong dan baik pulih pasar besar.

“MDTM dengan sokongan wakil-wakil rakyat berusaha untuk mewartakan Jambatan Guillemard sebagai tapak Warisan UNESCO sempena ulangtahun 100 tahun jambatan bersejarah itu,” katanya.

Kata beliau juga kerajaan negeri dan Persekutuan mengeluarkan peruntukan agak besar bagi menjayakan pembinaan Dataran Warisan di Jambatan Guillemard. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -