
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas.
Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh sebelum ini.
“Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila meminda pertuduhan asal daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pertuduhan yang dipinda dan menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Enam tertuduh itu yang berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Hakim Hadhariah di dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kelima-lima tertuduh itu secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan Zulfarhan termasuk kemaluannya dan seorang lagi tertuduh pula bersubahat menghasut dan menyuruh kelima-lima tertuduh melakukan perbuatan berkenaan.
“Justeru itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024












