Kanak-kanak mangsa gangguan seksual masih keliru

Senator Dato’ Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam melaknat perbuatan gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak, kata Senator Dato’ Husain Awang.

- Advertisement -

Menurutnya, jenayah tersebut bukanlah merupakan sesuatu yang baharu tetapi sering berlaku sejak sekian lama dalam negara ini.

“Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual ini tidak berani untuk tampil ke hadapan untuk mengadu berkenaan yang mereka alami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Pindaan Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Kepada Kanak-Kanak di Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual masih keliru bahawa perbuatan tersebut adalah menyalahi undang-undang dalam negara ini.

Tambah beliau, yang lebih malang ialah apabila perkara tersebut turut berlaku dalam kalangan ahli keluarga sendiri.

“Yang lebih malang lagi apabila gangguan seksual ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.

“Fenomena haruan makan anak atau sumbang mahram ini dilihat sebagai gambaran kepincangan dalam institusi kekeluargaan pada hari ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, jenayah tersebut adalah sesuatu yang dilaknat oleh Islam mengikut falsafah maqasid syariah itu sendiri.

“Islam melaknat perbuatan terkutuk ini kerana ianya tidak lain tidak bukan melainkan untuk memelihara nasab ataupun keturunan serta menjaga keharmonian dalam kemanusiaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -