
KUALA LUMPUR: Ketiadaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam Dewan Rakyat tidak akan sesekali membantutkan perjuangan rakyat dalam isu penjualan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock Inc. (BlackRock).
Wan Ahmad Fayhsal berkata, isu ini jelas bersubahat untuk membunuh rakyat dan beliau sangat berani untuk bersuara isu ini kerana Allah demi agama, bangsa dan negara.
Pada Khamis, beliau digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai susulan dakwaannya mengenai surat layang yang mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.
“Malah masih banyak lagi butiran ekonomi, keselamatan dan perniagaan dan hujahan teknikal yang saya tidak berkesempatan untuk berucap.
“Lagi-lagi melibatkan hal urus niaga penswastaan dan penjualan saham MAHB yang akan menggunakan berbilion ringgit wang rakyat.
“Saya bercadang untuk membahasnya dalam Perbahasan Belanjawan 2025 pada Oktober nanti tapi malangnya saya tidak akan diizinkan berbuat demikian,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab dan berhati-hati dalam setiap urus niaga kerana jelas terdapat banyak petanda yang ia boleh merugikan negara.
“Kami tidak mahu skandal MAHB-GIP-BlackRock ini menjadi satu bentuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang baru untuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Marilah kita terus desak dan membantah penswastaan dan penjualan saham MAHB ini kepada orang asing yang pro-Zionis. Rakyat harus bangkit pertahankan hak dan kedaulatan kita bersama demi Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2024











