
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan isi rumah akan meningkat dengan lebih mendadak berbanding tahun lalu dengan unjuran peningkatan sebanyak lima peratus kepada RM904.6 bilion.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, berkata jumlah perbelanjaan ini bakal berlaku pada kadar pertumbuhan yang sama seperti tahun 2015 hingga 2019 menurut kajian BMI, sebuah firma penyelidikan di bawah Fitch Solutions.
“Namun jika dibandingkan dengan tahun tersebut, harga barang jauh lebih rendah. Subsidi masih boleh dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
“Berbeza dengan harga barang, kenaikan cukai, penarikan subsidi, harga bahan api dan inflasi yang berlaku hari ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Zurk berkata, dasar dan polisi kerajaan hari ini ingin mengalih pendapatan tinggi yang dimiliki sebahagian rakyat melalui bayaran terpaksa kepada kerajaan melalui cukai yang tinggi dan penafian subsidi.
Maka, corak perbelanjaan golongan ini yang telah banyak menyumbang kepada kerancakan ekonomi pasca Covid-19 akan turut terkesan.
“Apa yang mampu dikawal dan diubah oleh kerajaan tidak berlaku sebaiknya. Dasar ekonomi yang dijalankan hari ini bertumpu kepada imej negara seperti penghapusan hutang dan pungutan hasil negara.
“Rakyat tetap semakin miskin kerana dasar yang mengecilkan kuasa berbelanja dan tidak seimbang antara memajukan ekonomi negara dengan ekonomi rakyat.
“Walaupun perbelanjaan meningkat, kos sebenar tidak mampu ditampung oleh kebanyakan rakyat dan pendapatan mereka masih terjejas,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2024











