Wan Fayhsal tiada peluang bela diri

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan tanpa memberi ruang untuk beliau membela diri bukti kerajaan berat sebelah.

- Advertisement -

Perikatan Nasional (PN) dalam kenyataannya berkata, kes ini melangkaui konsep keadilan semula jadi (natural justice) di sisi Perlembagaan yang memberi hak kepada individu untuk didengar dan mendapatkan keputusan yang tidak berat sebelah.

“Dalam hal ini, terdapat dua prinsip utama perlu dipatuhi iaitu seseorang itu harus diberikan peluang yang mencukupi untuk membela diri dan keputusan harus dibuat oleh individu atau badan yang tidak berat sebelah dan mempunyai kepentingan peribadi,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, seperti yang ditegaskan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang merupakan ahli parti dari blok kerajaan sendiri bahawa kerajaan yang tidak menepati konsep ini adalah zalim.

“Isu yang dibawakan oleh YB Machang bukanlah isu biasa dan boleh dipandang ringan.

“Apatah lagi sumbernya adalah daripada suara rakyat biasa yang tiada autoriti untuk berbicara secara terbuka mengenai sebarang salah laku urusan kerajaan.

“Oleh itu, pihak pembangkang yang berperanan sebagai pengimbang dijadikan ‘wadah’ untuk membongkar kebobrokan dalaman,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata PN dalam usaha menyuburkan politik yang matang dan berintegriti, seharusnya pihak kerajaan haruslah memberi perhatian kepada isu yang dikemukakan dan berusaha membuat siasatan akan status kebenaran isu tersebut.

Namun, ujarnya tindakan kerajaan Madani terhadap yang juga Ketua ARMADA adalah bertentangan dengan prinsip yang dilaungkan.

“Mereka lebih mementingkan ‘muka’ individu berkepentingan daripada suara kebenaran. Lebih parah lagi, perlembagaan juga tidak terpakai.

“Barang kali risau akan aib-aib yang bakal terlondeh,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -