PAS perkukuh hubungan strategik bersama PKS

Muhammad Khalil (tengah) diiringi Mohd Nor (kanan) mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Parti Keadilan Sejahtera, Ahmad Syaikhu di Jakarta, Indonesia, tadi. (Foto oleh Sabri Mamat)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Ahmad Syaikhu di Jakarta, Indonesia.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pertemuan ini bertujuan bagi mengukuhkan hubungan silaturahim antara dua parti Islam iaitu Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, katanya, PKS turut menjadi parti kelima terbesar kerana memenangi kerusi Parlimen Indonesia pada sesi baru.

“Pada Pilihan Raya Umum Indonesia yang berlansung pada April lalu, PKS telah memenangai 53 kerusi Parlimen daripada 580 kerusi kesemuanya.

“Oleh demikian, PKS memiliki 8.6 peratus kerusi daripada jumlah keseluruhan. Pada penggal yang sebelumnya mereka sudah memiliki 50 kerusi, dan pada sesi ini meningkat lagi tiga kerusi,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah turut mengiringi Dr Muhammad Khalil bagi bertukar pandangan dalam usaha memperjuangkan nilai Islam di era politik yang sangat rencah pada kali ini.

“Beliau berkongsi mengenai jatuh bangun PAS yang sudah sekian lama menghadapi berbagai rintangan untuk menaikkan Islam dengan menjadikan PAS sebagai jambatan dalam sistem demokrasi dunia moden.

“Setelah mendengar penjelasan panjang, pihak PKS sangat berbesar hati untuk melakukan kunjungan balas ke Malaysia.

“Ekoran perkembangan PAS yang telah menjadi parti terbesar memenangi kerusi Parlimen di Malaysia iaitu sebanyak 43 kerusi daripada 222 kerusi semuanya,” katanya.

Khalil yang juga ADUN Batu Buruk berkata, pihak PKS sangat tertarik dengan pendekatan PAS yang telah berjaya mendekati anak-anak muda melalui media sosial yang semakin meningkat naik.

“Terkini, anak-anak muda termasuklah pengundi kali pertama yang masih memberikan kepercayaan kepada PAS, buktinya seperti yang berlaku di Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.

“Seiring itu juga, pertemuan yang turut disertai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PKS amat berbesar hati untuk melanjutkan pertemuan ini bersama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, pihak PKS juga mencadangkan diadakan jaringan umat Islam di negara Asia Tenggara (Asean) supaya mengadakan kenyataan bersama untuk menyatakan sokongan solidariti kepada umat Islam di Palestin.

“Semoga pertemuan ini menjadi awal mula kesatuan umat Islam Asean supaya menjadi suara yang besar untuk memperjuangkan nasib umat. Kita adalah sama bahasa, sama agama dan memiliki matlamat yang sama.

“Yang matlamat akhirnya, kita berjaya mengangkat nilai-nilai Islam di peringkat nasional di setiap negara umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

- Advertisement -