
MARANG: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mempersoalkan tindakan platform TikTok yang memadam video miliknya tanpa sebab yang jelas.
Beliau berkata, 14 video yang dipadam tersebut hanya berkaitan tentang motivasi kepada pemain bola dan kunjungan hormat dari luar negara yang tidak seharusnya untuk ditakuti atau bimbang.
“Saya tak faham.. ‘it’s not political, its not 3R (race, religion, royalty),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi bencana ribut daerah Marang di Pantai Kekabu dan Kampung Seberang Marang, di sini, hari ini.
Katanya, sejurus perkara itu tular, beliau menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang turut berasa pelik dengan kejadian tersebut.
“Selain media Bahasa Melayu dan Inggeris, perkara ini turut menarik perhatian media Mandarin, menunjukkan keprihatinan seluruh anggota masyarakat bahawa perkara yang seperti ini tidak boleh didiamkan. Mungkin hari ini kena pada saya mungkin esok pada orang lain,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak turut terlibat sama untuk menegur dan memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi.
“Kita perlu untuk sama-sama menegur supaya jangan jadi seperti ini lagi, kerana ia tidak akan membantu negara kita untuk terus maju ke depan,” katanya.
Mengulas status terkini mengenai surat yang dihantar kepada kepada platform terbabit, beliau berkata, pihaknya masih menunggu jawapan.
“Kita juga akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kita tengok daripada situ,” katanya.
Terdahulu, video yang dibuang langsung daripada TikTok Menteri Besar Terengganu itu antaranya ialah ucapan kepada pemain bola sepak Terengganu yang mendapat 1.3 juta penonton, video ‘Aunty Amy Chua’ daripada Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pula meraih 5.5 juta tontonan.
Sementara perbahasan Ahmad Samsuri di Parlimen telah meraih 700,000 tontonan; acara Perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park pula 900,000 tontonan dan kunjungan hormat Duta Qatar sebanyak 300,000 tontonan. – HARAKAHDAILY 19/7/2024











