PN tampil calon diyakini boleh menang di Nenggiri

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan menampil calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri dalam kalangan mereka yang diyakini boleh memberi kemenangan.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, tidak berbangkit soal calon muda atau tua yang bakal dicalonkan PN di DUN Nenggiri.

Sebaliknya kata beliau calon terbabit dipastikan boleh memberi kemenangan kepada PN.

“Bagi saya bukan isu calon muda atau tua, tetapi asas dalam PAS sejak dahulu lagi akan meletakkan mereka yang boleh menang pada setiap pilihan raya.

“Calon muda sekalipun sekiranya tidak boleh menang, tiada gunanya,” katanya kepada media di sini hari ini.

PRK Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini dan penamaan calon 3 Ogos. PRK tersebut diadakan berikutan bekas Adun Mohd Azizi Abu Naim didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan berkata, calon PN di DUN Nenggiri belum diputuskan walaupun telah ada cadangan nama yang disenaraikan.

“Ada cadangan calon dari Bersatu dan PAS, tetapi pimpinan PN belum buat keputusan memandangkan belum ada perbincangan rasmi mengenainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -